Tuesday 28 July 2015

Jana kekayaan dengan pokok gaharu




Gaharu terhasil daripada tindak balas imun pokok daripada jangkitan penyakit dan kulat. Pokok yang cedera menyebabkan ia terdedah kepada jangkitan mikrob. Pokok yang dijangkiti tetapi berimun lemah menyebabkan penyakit terbentuk pada pokok seterusnya menyebabkan pembentukan gaharu daripada nutrien pokok. Resin yang terhasil dari proses ini mengandungi bahan sari atau resapan berbau wangi. Resin itulah yang kita kenali sebagai gaharu.

Komoditi gaharu kini sangat terkenal di seluruh dunia dengan pelbagai panggilan, di kalangan masyarakat Cina, ia dipanggil Chen Xiang, Jin-Ko di Jepun, dan Oud atau Oode di kalangan bangsa Arab. Kayu gaharu termasuk di dalam genus ‘Aquilaria’ merupakan antara khazanah tumbuh-tumbuhan di Malaysia yang mempunyai permintaan tinggi dari luar negara. Secara keseluruhan terdapat lapan jenis pokok gaharu di dunia tetapi di Malaysia hanya terdapat empat jenis iaitu Karas, Candan Gajah, Candan Gunung dan Cendana.



Gaharu sebagai tanaman mudah

Sesuai dengan statusnya sebagai pokok hutan, tanaman ini tidak memerlukan penjagaan yang melampau dan amat mudah untuk ditanam berdasarkan prinsip Empat T iaitu Tanam, Tinggal, Tengok-tengok dan Tuai. Pokok ini hanya memerlukan pencahayaan sebanyak 45 hingga 75 peratus sahaja sehari serta boleh menyesuaikan dirinya dengan pelbagai jenis tanah.
Anak benih terbaik untuk penanaman berumur daripada empat bulan ke satu tahun kerana ianya mudah untuk diangkut serta pembentukan akar yang sedang berkembang untuk mencengkam tanah, mengelakkannya daripada mudah tumbang. Penanamannya juga tidak memerlukan ladang terbuka. Ia lebih sesuai ditanam di dalam kongsi atau hutan asli untuk pembesaran yang lebih sempurna. Untuk penanaman secara intensif, 0.4 hektar tanah mampu menampung kira-kira 450 hingga 1,000 batang pokok pada satu-satu masa.



Potensi pasaran gaharu

Sekilogram kayu gaharu jenis karas dianggarkan bernilai di antara RM5,000 hingga RM60,000, bagi jenis Candan Gajah dianggarkan RM180,000 hingga RM200,000 dan Candan Gunung bernilai hampir sejuta ringgit. Manakala harga seliter minyaknya pula dianggarkan bernilai 10 kali ganda dari harga kayunya. Di seluruh dunia, pokok gaharu yang dikenali sebagai Agarwood ini menjadi pilihan ramai berikutan kebolehannya mengeluarkan aroma menyenangkan dan menjadi kegemaran masyarakat di rantau Asia Barat. Yang membezakan harga antara produk gaharu ialah gred dan mutu produk itu.

Untuk mendapatkan minyak yang berkualiti tinggi, kualiti kayu gaharu perlu diambil berat. Terdapat tujuh kategori mutu gaharu namun, untuk mendapatkan kayu yang bermutu tinggi, terdapat lima ciri utama perlu diberi keutamaan dalam memastikan bahawa kayu gaharu tersebut mencapai tahap berkualiti yang dikehendaki atau tidak. Ia termasuklah corak atau warna pada kayu tersebut seperti warna coklat kehitaman, kandungan damar wangi tinggi, serat padat, berat dan menghasilkan aroma yang kuat apabila dibakar.

Daripada ciri-ciri tersebut, gaharu digredkan kepada gred A, gred B, gred C, gred D, gred E, lain-lain gred dan gaharu racik (kayu racik). Penghasilan minyak gaharu boleh dilakukan dengan dua kaedah; iaitu kaedah penyulingan stim dan kaedah penyulingan air. Kaedah penyulingan stim adalah yang paling efektif dengan menghasilkan minyak yang banyak dan ianya turut digunakan di Malaysia.



Daripada kontraktor ke usahawan berjaya

Pada waktu ini, pasaran gaharu dunia hanya dapat menampung 20 peratus daripada permintaan sebenar, menjadikannya satu bidang yang boleh menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya. Melihatkan kepada potensi itu, Norazlan Lumi, seorang kontraktor sanggup mengambil keputusan beralih ke bidang keusahawanan gaharu.

Melalui syarikatnya, Konsesi Utama (M) Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2000, beliau telah berjaya mempelopori perusahaan gaharu dan mengkomersilkan sepenuhnya tanaman itu. Syarikat beliau turut mempunyai kilang pengeluarannya sendiri di Bandar Teknologi Kajang dan telah menghasilkan rangkaian produk daripada keseluruhan kayu gaharu bermula daripada akar hingga ke batangnya.
Beliau pada awalnya berhasrat untuk menceburi bidang pertanian tetapi menyedari persaingan sengit dalam industri tersebut menyebabkan beliau melakukan kajian mengenai tanaman lain yang belum dikomersilkan sepenuhnya, dan di sekitar tahun 2000, beliau mula didedahkan dengan kayu gaharu yang diperoleh daripada orang Asli dari hutan seluruh negara.

Penjualan kayu gaharu pada mulanya dilakukan secara kecil-kecilan sahaja, namun, usaha itu berterusan untuk beberapa tahun dan pada yang masa sama beliau gigih menjalankan kajian bagi mendapatkan ekstrak kayu gaharu menerusi usahanya sendiri tanpa mendapatkan sebarang geran bantuan penyelidikan daripada mana-mana agensi.

Pada 2005, syarikat beliau telah melangkah setapak lagi ke hadapan apabila mula mengendalikan kilang untuk menghasilkan ekstrak daripada kayu gaharu dengan menggunakan empat dapur pemproses membabitkan pelaburan kira-kira RM25,000. Kini, beliau mampu berbangga apabila syarikatnya mempunyai 36 dapur pemproses untuk mendapatkan ekstrak daripada kayu gaharu. Antara produk yang telah dihasilkan oleh syarikat beliau termasuklah minyak gaharu asli, minyak wangi gaharu asli, teh gaharu, setanggi gaharu, tikar dan tasbih gaharu, krim kulit gaharu dan produk hiliran minyak lintah gaharu.

Konsesi Utama terus melangkah maju apabila berjaya memperoleh geran bernilai RM500,000 daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bagi membolehkannya menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan produk penjagaan kulit daripada kayu gaharu. Kajian itu telah dilaksanakan menerusi kerjasama bersama dengan Loji Pandu Kejuruteraan Kimia, iaitu sebuah anak syarikat Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

No comments:

Post a Comment